Tuesday, 28 October 2014

Renungan daripada cikgu Ilham

Renungan ...al quran adalah mukjizat besar..maka sentiasalah kita bentengi dengan amalan bacaan ayat suci al quran ....sentiada bacalah surah al baqarah seminggu sekali sebagai pelindung diri dan keluarga..

Renungan....ketahuilah sekira anda merasakan perubahan dalam diri ini dan bukan seperti kebiasaan seperti kuat mengamuk...mudah benci pada seseorang ...maka dan rasa rendah diri dan mudah kecewa..ini ada kaitan dengan sihir pembenci....

Renungan...saka adalah satu belaan melalui perjanjian orang terdahulu dengan jin...Namun saka ini menagih janji dengan menganggu anak cucu atau keturunan ...Ramai yang menjadi mangsa saka bagi mereka yang tidak mengetahui kehadiran saka tersebut..antara gangguan dan tanda tandanya ialah...sering bermimpi mendokong anak dan menyangi anak tersebut tanpa kita kenali.......mimpi orang berserban dan berjubah mengajar kita dengan pelbagai ilmu......bunyi guli di rumah pada waktu malam..sering melompat di tempat tinggi........
Penyakit keturunan seperti ketumbuhan atau kanser.....
Bengkak biru hitam terjadi ketika bangun tidur....seseorang tiba tiba boleh melihat alam ghaib....seseorang belajar berubat dalam mimpi....seseorang sering boleh melihat jin...seseorang boleh mendengar bisikan dari jin mengenai perkara perkara yang mencarik adat..........
 

Selamat menyambut Maal Hijrah

Salam buat pembaca,

Pertama-tamanya, cikgu Ilham ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah, peristiwa penting dalam perkembangan Islam di dunia. Tidak dilupakan, cikgu ingin mohom kemaafan kerana sudah lama tidak mengemaskinikan blog angkara kesibukan.

Perjuangan dan perutusan Baginda, Nabi Muhammad SAW, memberikan kesan yang besar kepada semua umat Islam di seluruh dunia tentang erti penghijrahan sebenar. Pengorbanan Hijrah ini telah membawa perkembangan agama Islam serta dakwah Islamiah yang berjaya membawa dan memacu umat manusia ke arah kebenaran yang hakiki. Maksud Maal Hijrah itu adalah lebih besar iaitu umat Islam haruslah sentiasa maju ke hadapan, cara berfikir yang lebih progesif, dan memberikan pencerahan yang sebenar dalam menghayati pengertian Islam sebenar.

Harapan besar cikgu Ilham, agar seluruh umat Islam bersatu-padu dan sentiasa berkorban dan menghormati pengorbanan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW dalam mencorakkan kehidupan seharian.

Sunday, 15 December 2013

Rasukan Jin Hindu

Salam muhhibah dan salam sejahtera...

Sering kali kita mendengar tentang kes-kes rasukan yang selalunya disebabkan keadaan seseorang (lemah semangat) atau pun tidak sengaja melukakan jin seperti berkeliaran di hutan, terpijak rumah mereka, ketika bermain, tersepak mereka dan sebagainya.

Kisah kali ini yang ingin cikgu sampaikan ialah mengenai jin liar beragama Hindu. Rohani (bukan nama sebenar) masih bersekolah dan berada dalam tingkatan satu. Dia telah menyertai rombongan berkelah dan beriadah di sebatang sungai Templer di Selangor. Dia menyertai rombongan tersebut bersama pihak sekolah yang diselia oleh guru-gurunya.

Mereka tiba di lokasi pada tengah hari mengikut jadual ditetapkan. Rombongan ini cukup bermakna untuk Rohani yang kini sudah bergelar remaja.

Setelah mendengar taklimat, mereka dibenarkan bermandi-manda di sungai tersebut. Semua peserta bermain dengan gembira dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan di sana.

Seperti pelajar lain, Rohani juga bergembira dan pada awalnya, segala-galanya berjalan lancar . Mereka berada dalam pemerhatian guru-guru bertugas.

Setelah hampir sejam bermandi-manda, guru-guru memanggil mereka untuk berehat dan menikmati makan tengah hari yang dibekalkan oleh pihak sekolah iaitu nasi campur dan ayam goreng.

Selesai sahaja mereka berehat dan makan,  para pelajar ini menyambung aktiviti mandi-manda mereka. Mereka berseronok seperti biasa. Ketika Rohani sedang bergembira, dia berasakan ada sesuatu dipijaknya semasa berada di dalam sungai.

Namun, apabila diperiksa, tiada apa-apa yang ada di dalam sungai itu. Jadi, dia meneruskan mandiannya itu. Tidak semena-mena, dia tercium bau colok lantaran dia dan rakan-rakan terkaku seketika. Mereka cuba mencari punca bau tersebut.

Bau itu hilang setelah Rohani menegur bau tersebut. Melihatkan situasi itu, Rohani dan rakan-rakan yang lain diarahkan oleh guru-gurunya menamatkan aktiviti mereka dan bersiap-siap pulang.

Ketika mereka bersiap-siap, rakan-rakannya berasakan ada sesuatu perubahan pada Rohani yang tidak lagi ceria dan hanya mendiamkan diri. Rohani ditegur oleh ustazah akan tingkah lakunya aneh seperti matanya sentiasa terbeliak dan memandang ke kiri dan ke kanan seperti berada dalam ketakutan.

Dia mengatakan bahawa dia tiada apa-apa tetapi berasakan ada sesuatu yang mengekorinya. Setelah beberapa ketika, mereka pulang ke rumah masing-masing setelah tiba di sekolah.

Setibanya di rumah, Rohani disambut gembira oleh ibu bapanya, namun ibu bapanya kehairanan melihatkan perubahan sikap Rohani yang berubah. Rohani terus masuk ke biliknya dan terus sahaja tidur seawal 9 malam.

Pada keesokan paginya (Ahad), Rohani tidak mahu bangun dan kelihatan bengis lalu marah-marah apabila melihat ibu bapanya. Rohani jelas berubah, tidak seperti dirinya yang sentiasa menghormati dan beretika ketika bersama ibu bapanya.

Ibu bapanya cuba menenteramkan Rohani, dan memimpinnya ke bilik air untuk mandi dan berwuduk. Kemudiannya, dia disuruh bersolat oleh ibu bapanya.

Ketika bersolat, Rohani berada dalam kegelisahan dan tidak tahan akan kepanasan yang datang tiba-tiba daripada kepala hingga turun ke kaki. Rohani terus sahaja pengsan setelah menahan kepanasan itu. Secara kebetulan, ibunya yang masuk ke bilik Rohani untuk memeriksanya, terkejut melihat Rohani yang terlantar di atas sejadah.

Ibunya menjerit memanggil si bapa apabila melihat kejadian tersebut. Si bapa mengejutkan Rohani daripada pengsannya, lalu dia tersedar tetapi dengan matanya yang terbeliak dan mula berbahasa Tamil serta kebengisan.

Ibu bapanya mula kaget melihatkan situasi itu lalu membacakan ayat-ayat suci Al-Quran kepada Rohani sehingga berlakunya kerasukan jin itu sepenuhnya dalam diri Rohani. Rohani kini lebih bengis dan garang lalu mula memaki-maki ibu bapanya dalam bahasa Tamil.

Keadaan semakin tidak terkawal apabila Rohani yang dirasuk itu meronta-ronta dan membaling barang ke arah ibu bapanya. Bapa Rohani menghubungi seorang kawannya bernama Haji Salim yang tinggal berdekatan rumah Cikgu.

Lazimnya, Cikgu Ilham akan menghormati dan mengutamakan orang tua dalam menjalankan sesuatu rawatan kepada pesakit. Tetapi Haji Salim yang juga pengamal perubatan Islam telah memberi laluan kepada cikgu untuk memulakan rawatan pada Rohani.

Seperti biasa, cikgu Ilham memulakan bacaan basmallah, istihgfar dan ayat-ayat Taawudz kepada mangsa. Jin itu mula memaki-maki cikgu dengan bahasa Tamil dan bahasa Melayu dengan pelat Tamil.

Cikgu meletakkan tangan di atas ubun kepala Rohani dan merugyah dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Jin Hindu itu (Rohani) mengelepar kesakitan dan merintih dalam bahasa Tamil. Cikgu Ilham pun mula memarahi jin itu;

"Keluar kau, jangan duduk (tinggal) di sini!"

Jin itu berdegil dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Cikgu Ilham pun membaca ayat-ayat Azab dan ayat membakar Jin. Jin itu meraung kesakitan dan menangis. Cikgu pun bertanya;

"Siapa kau!"

"Nama aku Subra" Katanya dalam pelat Tamil.

"Apa agama kamu?

"Agamaku Hindu."

"Mengapa kamu memasuki tubuh badannya?!"

"Dia melanggar aku dalam air tersebut ketika aku mandi di situ."

"Kaulah sebenarnya bersalah kerana manusia tidak nampak akan kamu dan kamulah sepatutnya mengalihkan diri kamu."

 Jin itu cuba melawan Cikgu Ilham. Cikgu Ilham terus membacakan ayat rugyah dan memohon petolongan-Nya sehingga keluarlah asap kecil pada kepala Rohani itu. Jin itu mengerang kesakitan yang amat sangat. Cikgu Ilham bertanya lagi;

"Di mana asalmu?"

"Aku datang dari sebuah kuil Hindu yang tidak jauh dari tempat tersebut."

"Kenapa kau berada di sungai tersebut pula?"

"Aku memang berniat hendak memasuki tubuh sesiapa sahaja yang mandi di sungai itu."

"Jadi, selama ini, sudah banyak kau lakukan perkara keji ini! Untuk apa kau lakukan?"

"Aku ingin makan darah haid."

"Bukankah kamu sudah diberikan darah oleh dukun di tempat kamu?"

"Ya, tetapi masih tidak mencukupi."

"Kau boleh ambil darah-darah yang lain?"

"Aku mahu ambil darah daripada manusia suci."

"Cukup. Aku tidak mahu berbicara dengan kamu. Keluar kamu dari badan manusia itu!"

Jin itu tetap berdegil. Cikgu Ilham bertindak dengan menyeksa jin itu menggunakan ayat-ayat Azab dan beberapa teknik menyentap jin tersebut menggunakan kain pelekat.

 Sewaktu dalam sentapan itu, jin itu mengerang kesakitan yang amat sangat. Setelah cikgu menyentapnya dengan kuat, Rohani pun pengsan dan jin itu pun terkeluar dari tubuhnya.

Rohani pun sedar daripada rasukan dan mula berasa sihat seperti sediakala. Cikgu Ilham menyediakan garam dan limau sebagai mandian buat Rohani. Ibu bapanya berasa gembira atas pemulihan Rohani itu.

Secara kesimpulannya, jadilah Al-Quran itu sebagai bekalan dan panduan ke mana-mana jua kita pergi. Bacalah dengan penuh keikhlasan untuk memohon perlindungan daripada Allah.








Friday, 6 December 2013

Sihir Bomoh Siam

Salam muhibbah dan salam sejahtera.

Kisah kali ini berdasarkan pengalaman cikgu ketika merawat seorang pesakit yang merupakan seorang lelaki yang berjawatan tinggi dalam salah sebuah kilang gergasi di kawasan Petaling Jaya, Selangor.

Kisah ini bermula apabila Azmi (bukan nama sebenar) memarahi salah seorang pekerjanya dengan kata-kata kesat kerana melakukan kesilapan besar dalam kilang. Azmi terkenal sebagai orang atasan yang kurang disenang kerana keceluparan mulutnya. Pekerja yang dimarahi tersebut berasakan maruah bagai tercalar disebabkan oleh kata-kata Azmi.

Selang dua minggu selepas kejadian itu, Azmi mula berasakan perubahan aneh pada tubuh badannya. Pada permulaannya, tanda awal yang dirasakannya ialah rasa tercekik di celah-celah kerongkongnya dan mula berasakan luka-luka dan bengkak-bengkak pada tubuh badannya.

Sebagai orang berada dan berpendapatan tinggi, Azmi selalu cuba mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta, tetapi tetap gagal mengesan punca penyakitnya. Pelbagai kaedah rawatan moden dan alternatif telah dicuba olehnya, tetapi tetap gagal dan lebih menyedihkan, kulitnya mula berkudis dan bernanah serta mengeluarkan cecair busuk pada kaki dan badannya.

Azmi sering mengerang kesakitan setiap malam seolah-olah kulitnya telah dibakar. Telah banyak pusat rawatan Islam yang dicuba olehnya. Biarpun ada kesan dan perubahan daripada rawatan tersebut, tetapi tidak cukup untuk mengubati kesakitannya.

Azmi terpaksa mengambil cuti lebih daripada enam bulan. Jari -jemarinya juga mulai berkudis dan menghitam. Azmi cuba mencari penawar sehinggalah suatu hari, dia telah dipujuk oleh kawannya untuk datang menemui cikgu.

Kali pertama cikgu bertemunya, cikgu termenung seketika dan bermonolog dalaman simpati kepada si mangsa ini. Cikgu memanjatkan doa agar diberikan bantuan dan petunjuk untuk menolong Azmi.

Cikgu terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan memegang seluruh tubuh badan mangsa dengan penuh simpati. Biarpun Azmi mengerang kesakitan dalam suara yang lemah, cikgu berasakan ada sesuatu yang datang dan memasuki tubuh badan cikgu ketika meruqyah pesakit tersebut.

Ada sesuatu benda tajam menusuk masuk ke dalam badan cikgu. Cikgu meneruskan juga bacaan Al-Quran dan bermohon untuk diberikan penyembuhan dan petunjuk sehinggalah keluar serbuk-serbuk besi berwarna dengan banyaknya pada tubuh dan kakinya.

Lantaran itu, jin dalam badan mangsa bertempiran dan berkomunikasi dalam bahasa Siam dengan penuh kemarahan dan benci.

Cikgu memberikan amaran kepada jin itu supaya keluar, tetapi jin tersebut enggan. Ujar jin itu dalam dialek Melayu-Siam, jin itu mengugut untuk membunuh cikgu jika merawat pesakit itu. Akhirnya, cikgu menggunakan kekerasan dengan mengazab jin tersebut dengan ayat Al-Quran sehingga Jin itu kesakitan.

Namun, penyihir empunya jin membalas kembali sehinggakan ikan peliharaan cikgu mati serta-merta. Itulah keganasan ilmu hitam yang digunakannya.

Walaupun begitu, cikgu meneruskan seksaan demi seksaan terhadap jin tersebut sehingga jin itu terpaksa mengaku bahawa dia ialah jin besi bat (besi suci dan keramat yang dipuja di  dalam kuil sebagai kepercayaan).

Cikgu pun memaksa jin itu mendedahkan identiti penyihir mangsa, dan jin itu menjawab;

"Aku diupah oleh Kamarul (bukan nama sebenar). Kamarul sangat benci kepada kau dan ingin membunuh kau (merujuk pada Azmi)!"

Cikgu memberikan amaran kepada jin itu untuk keluar dari tubuh mangsa serta mengeluarkan besi bat dalam badan mangsa. Akan tetapi, jin tersebut tidak mampu mengeluarkannya kerana dikawal oleh Tok Sami di Siam.

Cikgu terpaksa menggunakan kekerasan dengan menyeksa jin dan juga penyihir di sana (Sami) sehingga suara Sami di Thailand itu, bergema pada mulut mangsa (seperti speaker). Berkat kesabaran dan laungan azan berulang kali, jin itu mengelupur dan nanah di kaki mangsa mengeluarkan air hitam yang sangat busuk (air suci pujaan sami Siam) sehinggalah jin itu terpaksa dihapuskan oleh cikgu.

Azmi pengsan dan kemudian sedar kembali daripada rasukan itu. Selepas itu, cikgu Ilham memandikan Azmi sebagai membersihkan dan merawati dirinya. Saat Azmi dimandi, dia memuntahkan cecair hitam yang busuk.

Azmi meneruskan rawatan mandian selama empat kali berturut-turut sehingga berasa pulih sedia kala. Selepas itu, beliau menjalani terapi selama tiga bulan dan kembali cergas untuk meneruskan kehidupannya.

Pengajaran yang ingin cikgu sampaikan ialah janganlah kita terlalu marah mengikut perasaan bukannya iman terhadap seseorang kerana mereka juga insan seperti kita yang mempunyai maruah dan harga diri yang tidak boleh diaibkan dalam khalayak umum.

Thursday, 28 November 2013

Sihir pembenci (Versi peniaga)

Salam muhibbah dan salam sejahtera.

Pada kali ini, cikgu ingin berkongsi suatu kisah yang pernah cikgu alami. Cikgu ingin mencurahkan pengalaman cikgu sepanjang melibatkan diri dalam perubatan. Fokus kita kali ini ialah sihir pembenci dalam perniagaan.

Lazimnya, setiap kes yang cikgu hadapi berbeza-beza mengikuti hari dan bulan. Kadangkala seolah-olah menjadi suatu musim atau wabak penyakit yang melanda manusia pada hari ini. Antara yang kerap berlaku pada bulan ini ialah sihir pembenci dalam perniagaan.

Puan Halimah (bukan nama sebenar) menjalankan perniagaan kecil iaitu warung kuih-muih yang dikatakan maju dan laris di tempatnya. Dia mampu menggajikan lapan orang pekerja. Puan Halimah berasa syukur dengan kemurahan rezeki yang dilimpah-Nya selama 20 tahun dia berkecimpung dalam perniagaannya. Namun, pada tahun 2011, bermulalah titik hitam dalam kehidupan dan perniagaannya kerana kemerosotan perniagaannya saban hari. Malah, pekerja-pekerjanya juga mengalami masalah kesihatan pada kaki secara tidak semena-mena.

Puan Halimah juga turut mengalami kesan tersebut ; kakinya sakit, migrain dan berat bahu. Sebagai kesannya, para pekerja terpaksa berhenti kerana tidak tertahan kesakitan. Lebih teruk lagi, dia mula kehilangan pelanggan sehingga mula membawa kerugian.

Puan Halimah berulang-alik ke hospital mendapatkan rawatan namun hasilnya masih hambar. Akhirnya, puan Halimah dicadangkan oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan Islam di Darul Nur Syifa Insan.

Setelah kedatangan puan Halimah ke tempat cikgu, dia mengutarakan permasalahannya kepada cikgu. Selepas mendengar keterangannya, cikgu pun memulakan proses rawatan dengan membaca ayat-ayat Al-Quran dan meletakkan tangan cikgu pada atas kepala dan kakinya.

Sewaktu cikgu merugyah pesakit tersebut, badan pesakit itu mengeletar dengan kencang selama hampir lima minit tanpa berhenti diringi erangan kesakitan dalam nada suara yang garau. Bererti, berlaku rasukan jin dalam tubuh badannya.

Cikgu meneruskan bacaan rugyah tersebut menyebabkan jin itu mengerang kesakitan. Lalu, bertanyalah cikgu pada jin tersebut;

"Siapa kamu?"

Jin itu tidak menjawab dan hanya mengeleng-gelengkan kepala. Cikgu pun membaca ayat-ayat azab pada jin tersebut. Jin itu menjerit kesakitan dan terus merayu untuk melepaskannya.

"Siapa kamu ini?" Ulang cikgu berkali-kali. Kali ini barulah jin itu memberi respon.

"Aku diupah oleh seorang makcik Zaiton (bukan nama sebenar) kerana aku (wakil empunya) mahu tapak kedai itu!"

"Mana boleh kau menghukum orang dan menyakiti orang sedemikian!"

"Aku tak peduli kerana aku mengikut arahan tuanku!"

"Siapa tuan kau?"

"Kenapa kau ingin tahu?" Kata jin itu, sinis.

"Baiklah, kalau kau engkar, akan aku azabkan kau dengan ayat Al-Quran."

"Baiklah, baiklah. Aku beritahu bahawa tuanku ialah tok batin orang Asli."

"Bercakap kau dengan bahasa orang Asli!" Kata cikgu untuk kesahihan ujaran jin itu.

Dia pun bercakap dalam dialek orang asli. Memang benar kata jin itu.

"Benarkah kau dan rakan-rakan kau (Jin lain) membuatkan pekerja-pekerjanya (puan Halimah) sakit?"

Jin itu menganggukkan kepalanya.

"Dengan apa tuan kamu buat (menyihir mangsa)?"

"Tuan aku menggunakan bahan-bahan berbisa seperti getah pokok beracun, daun keladi dan dibungkus bersama jarum, daun semalu dan duri-duri di dalam hutan serta diikat bersama dengan batu besar, sederhana besar lalu dipuja dan diletakkan di dalam tempayan. Ditutupnya rapat-rapat tempayan itu."

Cikgu pun mengarahkan jin itu membuktikan kebenaran kata-katanya. Jin itu berdegil dan enggan membuktikannya. Cikgu terpaksa meneruskan bacaan rugyah atas pesakit sehingga kaki pesakit itu mengeluarkan jarum yang banyak melalui rongga kakinya serta diiringi muntah yang berwarna hitam yang mengandungi duri dan darah.

Cikgu meneruskan lagi rugyah kepada pesakit sehingga badan pesakit mengeletar dengan kencang sambil memuntahkan bendalir hitam dengan begitu banyak. Akhirnya, jin itu mengaku kalah dan ingin keluar daripada badan pesakit itu.

"Aku kalah, aku sakit! Aku nak keluar!" Erangan jin itu yang kesakitan.

Cikgu pun memberikan peluang kepada jin itu keluar dengan syarat, jin itu tidak boleh lagi masuk dalam badan pesakit itu lagi. Namun, jin itu tidak dapat keluar kerana diikat oleh tuannya.

Cikgu membantu jin itu keluar dan melepaskan ikatan sihir daripada tuannya dengan membaca surah Yasin serta berdoa untuk memudahkan proses pengeluaran jin tersebut. Akhirnya, cikgu pun mengazankan telinga pesakit sebanyak tiga kali. Cikgu meniupkan telinga pesakit lalu dia rebah dan pengsan dalam ketika itu. Setelah beberapa ketika, pesakit mula sedar dan mulai rasa letih dan tidak mengetahui langsung apa-apa yang berlaku.

Puan Halimah berasa syukur dan tidak lagi kesakitan pada kakinya. Seluruh tubuh badannya berasa ringan dan kembali kepada sediakala. Cikgu juga bersyukur kepada Allah kerana telah mengabulkan doa cikgu.

Secara kesimpulannya, apa-apa pun dalam kehidupan kita, sentiasalah membasahi bibir kita dengan zikir Allah serta sentiasa membaca ayat-ayat suci Al-Quran Nur Karim. Iringilah dengan tawakal dan doa serta tidak pernah berputus asa.

Wallahualam...




Monday, 14 October 2013

Salam AidilAdha



Tuesday, 1 October 2013

Perlukan bantuan?

Mencari penawar untuk penyakit berkaitan gangguan Jin dan makhluk halus?
Insya Allah, jangan cepat berputus asa dan tabahkan hati. 
Bawalah air mineral untuk didoakan oleh cikgu. 
Ikhlaskan hati anda.
Lokasi : Kuala Lumpur, Sri Gombak, Sentul dan kawasan berhampiran. Hubungi saya seperti nombor yang tertera di blog ini.