Saturday 26 January 2013

Selamat menyambut Maulidur Rasul

Selamat menyambut kelahiran baginda yang menyinari seluruh alam dan umat manusia dengan cahaya keimanan serta menjadi petunjuk sepanjang zaman.

Thursday 10 January 2013

Sihir Pembenci - Kisahku

Salam muhibbah wahai pelayar lamanku ini....

Kita telah berkongsi kisah lalu perbuatan khianat melibatkan sihir santau. Kini, saya ingin kongsikan pula kisah sihir pembenci yang berlaku pada si pejawat kerajaan juga pesakit yang saya rawati (2006).

Arif (nama samaran) yang berusia 36 tahun, beperwatakan menarik, agak tampan dan memiliki badan yang agak sasa. Dia begitu mementingkan penampilan diri, sehingga minyak wangi tiada sekalipun dilupanya untuk dikenakan pada badannya. Dia seorang pegawai di Jabatan Pengangkutan Jalan nun di belah Utara. Dia menikmati kehidupan seperti manusia yang normal, tetapi segalanya berubah setelah beliau dinaikkan pangkat.

Hendak dijadikan cerita, pada hari pertama, apabila selepas waktu Maghrib, ketika beliau mandi, beliau terasa seperti pedih di dalam dan permukaan badan serta pedih seakan luka, sedangkan tiada tanda sakit hatta cedera sedikit pun di badannya. Semakin hari semakin sakit dirasakannya.

Beliau akhirnya cuba mendapatkan rawatan di hospital bagi mengesan punca penderitaannya. Namun, doktor gagal mengenal pasti penyakit yang dihidapinya itu. Walaupun telah menjalani pemeriksaan terperinci seperti X-ray, MRI dan sebagainya, tetapi keputusannya tetap sama, tiada tanda mahupun penyakit.

Selepas beberapa bulan, simpton lain pula menjelma. Badan beliau akan menjadi busuk walaupun dia tidak berpeluh. Keadaan ini berlaku tanpa mengira masa, keadaan atau cuaca sekalipun.Bau badannya seakan bau hanyir darah dan busuk seperti bau longkang, bukannya bau cengis peluh. Reputasi pekerjaannya mula terjejas. Rakan-rakan sepejabat mula menjauhi beliau. Akibatnya, dia terpaksa mengambil cuti panjang. Walaupun begitu, isterinya masih setia bersama beliau pada saat-saat genting itu.

Susulan penderitaan itu, dengan kuasa Allah, beliau bertemu rakan lamanya ketika pergi ke pasar malam. Rakannya itu membawa beliau berjumpa dengan saya lalu meminta beliau membawa air mineral dan mula membaca beberapa potong ayat suci Al-Quran. Beliau diberi minum lalu hanya selepas dua minit, dengan kuasa Allah dan doa perawat, badan pesakit itu rasa kepanasan sangat. Ajaibnya, pesakit itu mengerang kesakitan dan merasakan bahawa tubuh bagai digigit-gigit oleh makhluk. Maka, dibukakan baju pesakit itu dan terkejut melihatkan seluruh badannya mengeluarkan ribuan ulat sampah yang amat busuk.

Setelah itu, saya meruqiyah badan pesakit tersebut dengan ayat suci Al-Quran. Pesakit semakin mengerang kesakitan dan ulat-ulat itu keluar lebih banyak lagi dan berguguran di lantai dengan baunya amat busuk. Ruqiyah itu diteruskan lalu dimuntahkannya mengeluarkan ulat yang sama. Pada situasi seterusnya, beliau kerasukan lalu mula berbahasa Siam yang tidak diketahui. Jin yang merasuknya kesakitan dan marah.

"Siapa kau?" Kata saya.

Lalu terus dia berbahasa Melayu pelat Kedah-Siam dan berkata, "Aku datang dari sebuah Watt di Kedah."

"Kenapa kau sakiti dia"

"Aku benci dengan dia kerana dia mudah naik pangkat...." Selalunya, Jin akan mewakili niat pengupahnya, menjawab pertanyaanku itu.

"Sedangkan aku bekerja lama, tidak dinaikkan pangkat..." Sambung Jin itu.

"Kau datang dari bomoh Siam atau sami Siam?" Soal saya, terus.

"Aku datang dari sebuah perkampungan. Tuan aku seorang bomoh Siam yang telah banyak membunuh orang."

"Berapa ekor engkau dalam badannya?"

"Aku ada 35 ekor..."

"Dengan cara apa sihir dilakukan?"

"Aku dilakukan dengan menggunakan patung dan ulat daripada bangkai tikus yang mati serta sedikit abu mayat dibungkuskan dalam daun Keladi, diikat dengan benang tujuh warna lalu aku ditenggelamkan di dalam longkang menggunakan besi yang terikat."

"Sekarang, keluarkanlah benda itu..."

"Aku tidak boleh. Tuan aku sudah tahu. Dia akan menyeksaku."

"Kalau begitu, aku akan bantu engkau..."

"Tidak, tidak, tidak... Aku diseksa sekarang ini. Badanku kesakitan."

"Engkau janganlah risau, aku akan bantu engkau. Aku akan lepaskan engkau. Aku berjanji. Adakah engkau ingin memeluk Islam?"

"Aku takut kerana aku lama diikat sejak kecil."

"Adakah kamu ingin lepaskan diri dengan nama Allah. Adakah engkau ingin memeluk Islam. Aku berjanji..."

Jin itu mengerang kesakitan dan meminta tolong. Jin itu bersetuju untuk memeluk Islam.

"Aku ulangi. Jangan memeluk Islam kerana terpaksa, tetapi peluklah kerana Allah."

Jin itu bersetuju lalu saya suruhnya mengucap dua kalimat syahadah dan berselawat ke atas Nabi dengan mengikut intonasi yang betul.

"Alhamdulillah, Allah akan memberkati kamu, dan janganlah mengulangi kesilapan lalu."

Jin itu menangis dalam kesakitan, dan terus sahaja saya membantu jin tersebut lalu membacakan ayat-ayat pelerai dalam surah Al-Anfal dan surah Al-Buruj serta Surah Al-Imran dan disudahi dengan Surah 3 Kul dan Surah Ayatul Kursi. Saya tiupkan di seluruh badan dan leher pesakit lalu saya berselawat ke atas-Nya serta saya lurutkan tangan seluruh tubuhnya hingga ke kaki. Ketika itu, Jin itu merasakan kesakitannya hilang serta-merta. Saya menyuruhnya pergilah ke tempat berkumpulnya jin-jin Islam yang lain. Jin itu tidak tahu ke mana. Maka, doa saya kepada Allah, bawalah jin ini ke Masjid-Masjid berhampiran untuk dia memulakan kehidupan baharunya sebagai Muslim. Jin itu mengangguk, lalu pergi setelah diucap salam.

Pesakit itu tersedar, lalu matilah ulat-ulat itu. Beliau berasa segar dan sihat seperti dahulu. Bersyukur kita kepada Allah, kerana setiap kebatilan itu, tiada satu pun yang dapat menandingi kuasa Allah. Manakala bahan sihir tadi sudah menjadi barangan kosong, kerana tiada lagi jin lalu mereput dengan sendirinya.

Saya membekalkan limau, garam dan air mineral yang telah didoa serta doa-doa yang perlu diamalkan seperti surah Ar-Rahman yang wajib dibaca setiap hari selama sebulan. Alhamdulillah, selama sebulan, tubuh badannya seperti sediakala dan tidak lagi berbau busuk.