Memahami Makna Perubatan Islam
Memahami Makna Perubatan Islam
Pengubatan Arab Jahiliyyah
Sebelum
kedatangan Islam, masyarakat Arab jahiliyyah bukan sahaja mempunyai
masalah tauhid dan masalah keharmonian kemasyarakatan, malah mereka juga
mempunyai pengetahuan perubatan yang tidak tersusun, jahil serta
bercanggah dengan nilai perubatan yang sebenar.
Pelbagai
cara perubatan mereka yang bukan sahaja bertentangan dengan akal malah
mengandungi unsur-unsur khurafat dan syirik. Antara contohnya;
a). Merawat pesakit yang dipatuk ular atau disengat kalajengking adalah dengan mengalungkan perhiasan emas di lehernya.
b).
Apabila anak mendapat bisul maka ditudungkan kepala dengan penapis lalu
mengelilingi rumah-rumah kaum mereka untuk mengumpulkan roti dan kurma
yang kemudiannya diberikan kepada anjing untuk dimakan supaya anaknya
sembuh.
c).
Pemberian azimat atau tangkal-tangkal tertentu dalam pelbagai bentuk
lalu dikalungkan atau diletak di badan seperti pakaian buruk dan tulang
manusia kononnya penyakit itu akibat perbuatan roh jahat. Malah sakit
tekak juga ‘dikurniakan’ azimat kepada mereka.
Apabila
datangnya Islam maka tradisi perubatan yang tidak masuk akal ini
diperangi dengan pelbagai cara melalui ajaran Nabi saw dan hasil ijtihad
para sahabatnya. Adapun kaedah Nabi saw bukan sahaja melalui ruqyah
(bacaan-bacaan doa) malah termasuk juga cara mencegah dan merawat
melalui pemakanan.
Pelbagai Doa
Terdapat
begitu banyak doa-doa bacaan sebagai salah satu kaedah dalam merawat
penyakit dari Nabi saw. Di antara yang paling mahsyur di kalangan umat
Islam zaman ini adalah surah al-Fatihah (terdapat dalam Sahih Bukhari
no. 2115). Sekiranya anda hendak membeli buku-buku ruqyah ini pastikan
ia adalah sabit dari hadith Nabi saw. Biasanya ia terletak di notakaki
buku tersebut.
HINDARI
buku-buku doa yang tidak diketahui asal-usul doanya. Contohnya seperti
terdapat buku-buku doa yang menggambarkan tulisan Arab atau Jawi yang
terputus-putus dan disarankan untuk menyalinnya lalu disimpan di dalam
dompet sebagai penangkal sihir atau penolak bala. Inilah yang dipanggil
tangkal.
Selain
itu terdapat juga doa-doa atau kononnya selawat-selawat yang dapat
menyembuhkan penyakit, sedangkan Nabi saw tidak pernah mengatakannya
malah kelebihannya melampau-lampau pula hingga meninggalkan sunnah Nabi
saw yang sahih. Oleh sebab itu saya sarankan pilihlah buku-buku doa
yang mempunyai nota kaki yang mengatakan dari hadith mana doa itu
diambil.
Apakah Ruqyah Itu Memadai?
Sekiranya
cukup dengan doa tentulah Rasulullah saw tidak akan mengatakan bahawa
madu, kurma, habatussauda dan kandungan makanan lainnya yang mempunyai
aspek penyembuhan. Tetapi menerusi penyelidikan terkini umat Islam dan
juga bukan Islam mula membuka mata mengenai kehebatan wahyu (sunnah)
menerusi lisan Nabi Muhammad saw.
Antara
mukjizat ilmu perubatan yang diberi pada Nabi saw seperti hadith lalat,
kurma ajwa, kencing unta dan banyak lagi yang mempunyai kesan
penyembuhan terhadap penyakit. Sehingga kini ada yang mampu dikaji dan
ada yang masih tidak diketahui oleh penyelidik.
Selainnya anda boleh melihat di dalam buku ‘Mengubat Cara Nabi’ karangan ulamak yang terkenal Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.
Cara Perubatan Rasulullah saw
Kaedah atau pengubatan yang dilakukan oleh Nabi saw terdapat tiga cara iaitu;
a).
Pengubatan secara semulajadi melalui pemakanan dan sebagainya. Jika
kita kaitkan pada zaman ini samalah seperti pengambilan ubat-ubatan
serta pengambilan pil vitamin dan seumpamanya melalui kajian yang sah.
b).
Pengubatan secara ruqyah (doa yang diilhamkan kepada Nabi saw) bagi
menghilangkan pelbagai penyakit termasuk penyakit kerohanian.
Dari Anas bin Malik r.a :
"Mahukah kamu aku ruqyah dengan ruqyah Rasulullah saw?" ..... Anas r.a berkata : "
اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ مُذْهِبَ الْبَاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إِلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
(Ya
Allah Rabb manusia, Dzat yang menghilangkan rasa sakit. Sembuhkanlah
sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh. Tidak ada yang dapat menyembuhkan
melainkan Engkau iaitu kesembuhan yang tidak akan menyebabkan penyakit
lagi)." [5301] Sahih Bukhari
Oleh
itu untuk mengamalkan ruqyah ini adalah sunnah. Apabila kita
mengamalkan doa atau selawat yang bukan diilhamkan kepada Nabi saw,
bererti seolah-olah kita mengangkat perkataan orang lain lebih dari Nabi
saw dan meninggalkan sunnah yang sahih seperti ini.
c).
Pengubatan yang menggabungkan kedua-duanya. Sebenarnya inilah kaedahnya
yang sebenar tetapi saya mengasingkannya atau menyusunnya supaya mudah
dibaca dan difahami.
Pemahaman Perubatan Islam Yang Salah @ Pengubatan Islam Jahiliyyah
Inilah
tujuan utama risalah ini dan ia adalah isu yang amat penting terutama
pada zaman kita ini. Umat Islam telah mula meniru kembali kaedah-kaedah
perubatan Arab Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Paling buruk ia
dilakukan oleh orang yang kononnya digelar sebagai ahli agama sedangkan
ia ahli hawa nafsu yang mengaut untung dan mengambil kesempatan terhadap
orang lain, antaranya;
a).
Menziarah kubur untuk meminta kesembuhan. Baru-baru ini kita melihat
mengenai orang yang menziarahi Pulau Besar di Melaka. Walaupun lisan
kita mengatakan hanya Allah yang menyembuhkan, tetapi perbuatan kita ke
sana atas tujuan ‘usaha’ itu adalah salah. Inilah konsep perantaraan
yang jatuh kepada syirik. Maksudnya kita tidak yakin akan kekuasaan
Allah yang memakbulkan doa kita dan perlu ke tempat ‘keramat’ seperti
itu untuk meminta hajat.
b).
Air zam-zam yang dibacakan tiga puluh juz Al-Quran. Perkara ini sangat
menghairankan kerana apakah tidak cukup keberkatan air zam-zam itu
sehingga kita ingin menambah ‘berkah’ kepada air zam-zam tersebut dengan
bacaan ayat Al-Quran? Konsepnya, dari mana datang keberkatan? Semuanya
dari Allah, apakah kita meragui? Para ahli ilmu tidak akan tertipu,
sasaran mereka hanya kepada umat Islam yang jahil.
c).
Mempercayai bomoh yang bergelar ustaz. Ada seseorang yang menceritakan
kepada saya bahawa ia menjumpai seorang ‘ustaz’ dan meminta supaya
disembuhkan penyakitnya. ‘Ustaz’ itu kemudiannya memberikan beberapa
paku yang dibaca doa dan ayat Al-Quran untuk diletakkan di pintu rumah.
Apakah paku itu boleh menyembuhkan penyakit? Ini sihir dan syirik.
d).
Pembedahan batin. Kaedah ini dilakukan oleh para penyihir yang
bekerjasama dengan syaitan dari golongan jin. Mereka yang mendatangi
penyihir ini samalah seperti mendatangi bomoh.
e).
Zikir amalan yang bertentangan dengan zikir Nabi saw dan SALAHGUNA
ayat-ayat Al-Quran. Antara tujuan zikir ini bukan sahaja untuk tujuan
menyembuh penyakit malah untuk tujuan seperti untuk bertemu jodoh, zikir
menjadi halimunan, zikir menjadi kebal dan sebagainya.
f).
Pemetaan genom yang kononnya apabila dapat dikumpul genom dan
memahaminya maka manusia akan bebas dari segala penyakit (mungkin saja
ini salah satu dari fitnah dajjal). Ini syirik. Islam tidak melarang
pengkajian genetik untuk memberi manfaat tetapi perlu didasari dengan
syariat dan bukan mengatasi syariat.
Allah
yang mendatangkan penyakit dan hanya Allah yang menyembuhkan. Sakit itu
perkara biasa kerana ia menghapus dosa atau menaikkan darjat seseorang.
Hendaklah
kita meyakini bahawa penawar atau penyembuh bagi setiap penyakit di
dalam Islam hanyalah dari Allah. Namun bukanlah bermakna kita perlu
berpeluk tubuh dan kononnya bertawakal tanpa berusaha, sebaliknya ia
satu motivasi di dalam diri untuk mencegah dan mencari penawar dengan
mengamalkan sunnah Nabi saw. Disamping itu ia dapat menghasilkan rasa
harap, takut dan berserah diri kepada tempat meminta segala pertolongan
(Allah).
Kesimpulan
Perubatan
Islam sebenarnya adalah sistem perubatan yang sah dan sama dengan asas
perubatan atau ilmu kedoktoran masa kini melalui kajian-kajian empirik.
Malah perubatan Islam bukan sahaja melalui perubatan sains semata-mata,
malah ia tetap berpegang dan meletakkan wahyu (Al-Quran dan Al-Sunnah)
di peringkat paling atas. Ini bermakna perubatan yang bertentangan
dengan syariat adalah ditolak.
Adapun
sabdaan Nabi saw mengenai kandungan-kandungan pemakanan adalah wahyu
dan kita sebagai umatnya perlu jadikan ia satu motivasi untuk
mengkajinya dan memberi kemanfaatan kepada umat Islam dan manusia
seluruhnya. Ilmu yang bermanfaat akan mendapat pahala yang berterusan,
oleh itu berusahalah.
Dari Jabir bin Abdullah r.a : Rasulullah saw bersabda: "Setiap
penyakit ada ubatnya. Apabila ditemukan ubat yang tepat untuk suatu
penyakit, maka akan sembuhlah penyakit itu dengan izin Allah 'azza
wajalla." [4084] Sahih Muslim
Punca
salah faham mengenai perubatan Islam ini kerana tidak memahami makna
iman dengan betul. Perbaharuilah syahadah kita setiap hari dan berdoa
moga dihindarkan bukan sahaja pada diri sendiri malah keselamatan ahli
keluarga, jiran tetangga dan seluruh umat Islam dari fitnah yang
merosakkan akidah ini. Belajarlah ilmu tauhid yang sebenar, BACALAH dan
tanyalah kepada mereka yang mengetahui.
Kembalilah kepada tauhid yang benar sebelum membicarakan mengenai hukum-hukum perubatan Islam yang lain.
Rujukan dan kitab yang DIANJURKAN untuk dibaca :
Al-Quran dan hadith yang sahih
Sirah Nabi Muhammad [Abu Mazaya al-Hafiz]
Mengubat Cara Nabi [Ibnu Qayyim al-Jauziyah]
Perdukunan Karomah [Zainal Abidin Bin Syamsudin]
Fikah Perubatan [Dr. Harmy dan lain-lain keluaran PTS]
Perubatan Al-Quran dan Al-Sunnah [Abdul Aziz Ismail]
Rujukan yang DILARANG untuk dibaca atau diamalkan :
Kitab Mujarrobat
Ilmu Rohani dan Mengenal Manusia
Serta beberapa lagi yang tidak wajar disampaikan di sini
No comments:
Post a Comment