Adalah diriwayatkan oleh Rasulullah SAW pada suatu hari
sedang baginda duduk di dalam masjid Madinah, maka Jibril pun datang
membawa firman. Ujarnya,”Ya Rasulullah. Salam Allah Ta’ala pada tuan
hamba dan firmannya: Hai kekasihku adapun doa haikal (7 doa ini)
dihantarkan pada tuan hamba. Maka barangsiapa tiada percaya akan doa
ini, kafirlah ia dan barangsiapa membacanya atau menyimpannya maka Allah
SWT melepaskan dia dan ibu bapanya daripada api neraka.
Ya Muhammad. Barangsiapa menaruh doa ini di dalam rumahnya, maka
tiada boleh masuk jin dan syaitan ke dalam rumahnya itu. Barangsiapa
suratkan doa ini dan dipakai diperbuat tangkal(azimat), nescaya lepaslah
ia daripada azab sengsara dan wabak, serta duduk dalam aman. Dan
barangsiapa menaruh doa ini, sentiasalah ia dihormati orang dan
termulialah ia pada orang ramai dan ketika hendak mati pun tiadalah ia
merasai azab sakaratulmaut itu. Maka dengan mudah sahaja nyawa itu
keluar.
Barangsiapa membaca doa ini tiap tiap hari, dan jika tidak boleh
membacanya diperbuatnya azimat. Nescaya beroleh pahala umpama membaca
70,000 kali khatam Qur’an dan 70,000 mati syahid dan 70,000 kali naik
haji dan mendapat kebajikan seumpama membuat 70,000 masjid dan seperti
memerdekakan 70,000 hamba dan seperti menjamu 70,000 orang berbuka puasa
dan mendapat pahala 70,000 orang hafiz qur’an dan beroleh kebajikan
kemenangan 70,000 orang perang syahid dan pahala 70,000 alim dan 70,000
abid dan 70,000 malaikat dan 70,000 orang yang berakal dan 70,000 nabi
dan kebajikan dan beroleh kekayaan dan kebesaran Jibril, Mikail,
Israfil, ‘IzrailAlaihissalam.
Ya Muhammad SAW. Barangsiapa menaruh maka dengan berkatnya
terlepaslah ia daripada segala orang yang membuat fitnah dan luputlah ia
daripada sekelian bala dan jika ada ia berhutang, nescaya terlepaslah
ia daripada hutangnya itu dan segala musuhnya pun binasalah.” Kisah
benar pada zaman dahulu: Ada seseorang yang terkena tohmah mencuri di
negeri Baghdad. Maka dibawa orang akan dia mengadap hakim negeri itu
kemudian dijatuhkan hukuman bunuh ke atasnya. Maka dipancung oleh tukang
pembunuh akan dia. Tiada luka. Diselamkan ia di dalam air. Tiada lemas.
Kemudian dibakar ia akan dia. Itupun tiada terbakar. Maka apabila
dilihat oleh hakim akan hal yang demikian, lalu bertanya hakim, “Apakah
amalan yang menyebabkan suatu perkara pun tiada boleh mencederakanmu?”
Maka sahut pencuri itu, “Ada di kepala hamba fadhilat doa haikal. Maka
oleh berkat doa itu, suatu perkara pun tiada boleh mengenai hamba dan
suatu bala pun tiada dapat menghampiri hamba.” Maka apabila didengarnya
oleh hakim akan kata kata pencuri itu. Lalu dibawanya menghadap raja
serta dipersembahkannya sekalian hal pencuri itu. Maka baginda
mengurniakan pencuri tersebut seberapa banyak harta dan melepaskannya.
Kemudian fadhilat doa haikal itupun disuruh salin dan ditaruh
padanya. Adapun khasiat doa haikal ini terlalu banyak. Sekadar diambil
ringkasannya sahaja di sini. Sesungguhnya tiadalah syak lagi.
Barangsiapa tiada percaya doa ini nescaya menjadi kafir Nauzubillahi min
suuil i’tikad
Dan doa haikal tersebut sebenarnya adalah susunan daripada ayat-ayat Quran Al-Karim dari beberapa surah seperti berikut:
1. Haikal 1: ayat kursi (Al-Baqarah: 255);
2. Haikal 2: Ali-Imran: 35 Al-Isra’: 77 – 80;
3. Haikal 3: Al-Baqarah: 285 – 286;
4. Haikal 4: Al-Isra’: 81 – 85;
5. Haikal 5: Maryam: 4 – 6 Al-Fath: 27;
6. Haikal 6: Al-Jin: 1 – 4; dan
7. Haikal 7: Al-Qalam: 51 – 52
No comments:
Post a Comment