Salam muhibbah dan salam sejahtera.
Pada kali ini, cikgu ingin berkongsi suatu kisah yang pernah cikgu alami. Cikgu ingin mencurahkan pengalaman cikgu sepanjang melibatkan diri dalam perubatan. Fokus kita kali ini ialah sihir pembenci dalam perniagaan.
Lazimnya, setiap kes yang cikgu hadapi berbeza-beza mengikuti hari dan bulan. Kadangkala seolah-olah menjadi suatu musim atau wabak penyakit yang melanda manusia pada hari ini. Antara yang kerap berlaku pada bulan ini ialah sihir pembenci dalam perniagaan.
Puan Halimah (bukan nama sebenar) menjalankan perniagaan kecil iaitu warung kuih-muih yang dikatakan maju dan laris di tempatnya. Dia mampu menggajikan lapan orang pekerja. Puan Halimah berasa syukur dengan kemurahan rezeki yang dilimpah-Nya selama 20 tahun dia berkecimpung dalam perniagaannya. Namun, pada tahun 2011, bermulalah titik hitam dalam kehidupan dan perniagaannya kerana kemerosotan perniagaannya saban hari. Malah, pekerja-pekerjanya juga mengalami masalah kesihatan pada kaki secara tidak semena-mena.
Puan Halimah juga turut mengalami kesan tersebut ; kakinya sakit, migrain dan berat bahu. Sebagai kesannya, para pekerja terpaksa berhenti kerana tidak tertahan kesakitan. Lebih teruk lagi, dia mula kehilangan pelanggan sehingga mula membawa kerugian.
Puan Halimah berulang-alik ke hospital mendapatkan rawatan namun hasilnya masih hambar. Akhirnya, puan Halimah dicadangkan oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan Islam di Darul Nur Syifa Insan.
Setelah kedatangan puan Halimah ke tempat cikgu, dia mengutarakan permasalahannya kepada cikgu. Selepas mendengar keterangannya, cikgu pun memulakan proses rawatan dengan membaca ayat-ayat Al-Quran dan meletakkan tangan cikgu pada atas kepala dan kakinya.
Sewaktu cikgu merugyah pesakit tersebut, badan pesakit itu mengeletar dengan kencang selama hampir lima minit tanpa berhenti diringi erangan kesakitan dalam nada suara yang garau. Bererti, berlaku rasukan jin dalam tubuh badannya.
Cikgu meneruskan bacaan rugyah tersebut menyebabkan jin itu mengerang kesakitan. Lalu, bertanyalah cikgu pada jin tersebut;
"Siapa kamu?"
Jin itu tidak menjawab dan hanya mengeleng-gelengkan kepala. Cikgu pun membaca ayat-ayat azab pada jin tersebut. Jin itu menjerit kesakitan dan terus merayu untuk melepaskannya.
"Siapa kamu ini?" Ulang cikgu berkali-kali. Kali ini barulah jin itu memberi respon.
"Aku diupah oleh seorang makcik Zaiton (bukan nama sebenar) kerana aku (wakil empunya) mahu tapak kedai itu!"
"Mana boleh kau menghukum orang dan menyakiti orang sedemikian!"
"Aku tak peduli kerana aku mengikut arahan tuanku!"
"Siapa tuan kau?"
"Kenapa kau ingin tahu?" Kata jin itu, sinis.
"Baiklah, kalau kau engkar, akan aku azabkan kau dengan ayat Al-Quran."
"Baiklah, baiklah. Aku beritahu bahawa tuanku ialah tok batin orang Asli."
"Bercakap kau dengan bahasa orang Asli!" Kata cikgu untuk kesahihan ujaran jin itu.
Dia pun bercakap dalam dialek orang asli. Memang benar kata jin itu.
"Benarkah kau dan rakan-rakan kau (Jin lain) membuatkan pekerja-pekerjanya (puan Halimah) sakit?"
Jin itu menganggukkan kepalanya.
"Dengan apa tuan kamu buat (menyihir mangsa)?"
"Tuan aku menggunakan bahan-bahan berbisa seperti getah pokok beracun, daun keladi dan dibungkus bersama jarum, daun semalu dan duri-duri di dalam hutan serta diikat bersama dengan batu besar, sederhana besar lalu dipuja dan diletakkan di dalam tempayan. Ditutupnya rapat-rapat tempayan itu."
Cikgu pun mengarahkan jin itu membuktikan kebenaran kata-katanya. Jin itu berdegil dan enggan membuktikannya. Cikgu terpaksa meneruskan bacaan rugyah atas pesakit sehingga kaki pesakit itu mengeluarkan jarum yang banyak melalui rongga kakinya serta diiringi muntah yang berwarna hitam yang mengandungi duri dan darah.
Cikgu meneruskan lagi rugyah kepada pesakit sehingga badan pesakit mengeletar dengan kencang sambil memuntahkan bendalir hitam dengan begitu banyak. Akhirnya, jin itu mengaku kalah dan ingin keluar daripada badan pesakit itu.
"Aku kalah, aku sakit! Aku nak keluar!" Erangan jin itu yang kesakitan.
Cikgu pun memberikan peluang kepada jin itu keluar dengan syarat, jin itu tidak boleh lagi masuk dalam badan pesakit itu lagi. Namun, jin itu tidak dapat keluar kerana diikat oleh tuannya.
Cikgu membantu jin itu keluar dan melepaskan ikatan sihir daripada tuannya dengan membaca surah Yasin serta berdoa untuk memudahkan proses pengeluaran jin tersebut. Akhirnya, cikgu pun mengazankan telinga pesakit sebanyak tiga kali. Cikgu meniupkan telinga pesakit lalu dia rebah dan pengsan dalam ketika itu. Setelah beberapa ketika, pesakit mula sedar dan mulai rasa letih dan tidak mengetahui langsung apa-apa yang berlaku.
Puan Halimah berasa syukur dan tidak lagi kesakitan pada kakinya. Seluruh tubuh badannya berasa ringan dan kembali kepada sediakala. Cikgu juga bersyukur kepada Allah kerana telah mengabulkan doa cikgu.
Secara kesimpulannya, apa-apa pun dalam kehidupan kita, sentiasalah membasahi bibir kita dengan zikir Allah serta sentiasa membaca ayat-ayat suci Al-Quran Nur Karim. Iringilah dengan tawakal dan doa serta tidak pernah berputus asa.
Wallahualam...
No comments:
Post a Comment