Monday, 24 June 2013

Perihal saka dan kesannya

Salam muhibbah buat pembaca yang dirahmati sekalian,

Saka dikaitkan dalam sejarah pembudayaan Melayu yang sering ditakuti dan digeruni oleh nenek dan moyang kita terdahulu.

Sejarah tentang saka ini boleh dikategorikan sebagai suatu sejarah tua berunsurkan mistik dan banyak menyimpan rahsia-rahsia tersendiri. Saka selalu disebut-sebut oleh Ulamak sebagai suatu peninggalan atau warisan ilmu yang terkeluar daripada hukum syarak Islam yang mengandungi unsur-unsur makhluk halus seperti jin Islam atau kafir yang diamalkan atau digunakan dengan ilmu tersebut untuk tujuan tertentu.

Mungkin saka ini terbentuk dari ribuan tahun hasil daripada kepercayaan animisme dan ilmu-ilmu tua  yang mempunyai unsur-unsur memuja jin-jin serta perjanjian antara manusia dan jin dan juga memberi sesajian kepada jin dalam tempoh ditetapkan berdasarkan perjanjian dahulu.

Saka ini boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu yang diwarisi secara langsung iaitu mengetahui ilmu itu diwarisinya. Yang satu lagi, ilmu dan saka itu diwarisi secara tidak langsung iaitu seseorang itu tidak sedar dia memiliki saka tersebut.

Pemindahan saka sering dikaitkan melalui guru ke anak murid, datuk ke cucu atau waris berdasarkan pemilihan oleh empunya saka, melalui proses ritual yang ditetapkan dan seperkara lagi perpindahan saka ini tidak melalui proses ritual sebaliknya diwarisi secara tidak ketahui seperti setelah salah seorang ahli keluarganya meninggal dunia, dengan automatiknya, jin-jin tersebut akan berpindah ke pewarisnya secara paksa dan tersembunyi.

Antara simptomnya, seseorang akan didatangi mimpi yang pelik, sedih, menakutkan, yang sentiasa berulang-ulang menyampaikan mesej dalam bentuk pembayang seperti dalam mimpi kita dikejar dan diancam oleh makhluk halus dan tiba-tiba diselamatkan oleh orang berjubah putih atau diselamatkan oleh panglima berpakaian hitam. Ada juga mimpi yang kedua, seseorang berjubah akan sering mengajar ilmu agama, dan beberapa potong ayat al-Quran yang tidak mengikut susunan dan protokol. Dan ada yang bermimpi pula kedatangan wanita yang cantik yang sering mendukung anak dan membantu kita di dalam kesusahan pada mimpi tersebut, dan anaknya nanti diserahkan kepada si pemimpi, lalu ia menyayangi anak itu dan mengasihinya tanda terima kasih. Ada juga bermimpi seperti makhluk separuh manusia dan binatang seperti harimau, ular, burung, gajah juga dikaitkan dengan saka animisme.

Banyak kes penderita saka mengalami pelbagai bentuk mimpi yang sukar untuk diceritakan. Antara tanda saka yang sering dialami oleh pesakit-pesakit seperti selalu panas baran, sering sedih keterlaluan, kerap merendah diri, acap kali bercakap seorang, sentiasa beremosi dan kerap melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan berakhir kegagalan. Kebanyakan mereka kecewa kerana perkara mudah dan seharusnya boleh dibuat akan gagal.

Bagi tanda-tanda pertengahan pula, berlaku kerunsingan yang melampau sehingga hilang ingatan dan menjadi tidak siuman. Tanda kemuncak pula, seseorang itu kemungkinan akan sakit seluruh badan dan tidak berdaya untuk bekerja, tidak mampu berfikir waras dan akhirnya sakit itu berlarutan dan membawa ajal atas kehendak Allah swt.

Perkara pelik bagi saka itu di mana jin-jin saka ini lazimnya sentiasa menawarkan kebaikan dahulu seperti kekayaan, daya penarik, dan kelebihan mengubati orang. Dalam fenomena hari ini, saka ini menjadi suatu bebanan kepada masyarakat moden seperti saka mempunyai perjanjian daripada keturunannya yang amat pelik seperti menawarkan keturunannya sekiranya saka itu berjaya menunaikan hajat si pemakai iaitu generasi ketujuh sebagai dalang mangsa, dianggarkan 300 tahun, yang pernah dilaporkan beberapa kes kehilangan bayi daripada perut ibu mengandungi walaupun doktor mengesahkan bayi itu menjangkau 6 bulan, tetapi jin saka itu datang dalam mimpi dalam bentuk manusia dan mengambil bayi itu dalam mimpi, akhirnya keesokan harinya, si ibu kehilangan anak kandungannya.

Ada juga kes saka yang begitu mistik apabila perjanjian itu menjangkau ratusan ke ribuan tahun, si ibu akan melahirkan anak yang berbentuk binatang seperti ular, anjing atau haiwan yang lain.

Maka itulah nasihat cikgu kepada pembaca budiman, kita haruslah sentiasa menginsafi akan peristiwa-peristiwa yang lalu dan sentiasa mengingati perintah Allah dan sunnahnya, dan mengelakkan segala perbuatan kufur.

Bentengilah diri dengan ayat-ayat suci, berselawat ke atas Nabi Muhammad saw, bersihkan hati, sucikan diri, bersolat dan yakin kepada Allah yang sentiasa membantu kita. Segala sihir dan saka tidak akan berupaya melawan orang beriman. Mereka akan terus hilang dan lenyap dengan kekuasaan dan kerahmatan Allah.

Semoga segala catatan cikgu Ilham memberikan pengajaran dan pedoman dalam meniti kehidupan.





No comments:

Post a Comment