Saturday, 25 May 2013

Bahaya sihir puak etnik

As-salam buat pembaca yang dirahmati,

Dalam banyak peristiwa dan pengalaman cikgu Ilham, marilah kita berkongsi pengalaman ini bersama-sama mengenai kejahilan manusia pada zaman moden ini. Sihir orang asli yang dikatakan antara sihir tertua di dunia, kerana penggunaan sihir ini secara amalan turun-temurun dengan memuja setiap roh jahat, jin-jin hutan hutan belantara, di bukit-bukau, di sungai dan di laut, serta menyembah mereka yang telah mati juga ketua-ketua pribumi mereka yang lampau.

Kebanyakan mereka yang terkena sihir ini memang amat mencabar dalam proses pemulihan mereka. Perlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi. Antara tanda kritikal yang ada pada seseorang itu ialah mengalami halusinasi yang tinggi seperti melihat lembaga hitam yang datang, rasa ingin terjun di tempat tinggi, perasaan rungsing dalam hati yang tidak terkawal, rasa terancam seperti dirinya terasa dicekik, ingin dibunuh, rasa dihumban hingga seseorang itu merasakan dirinya hilang pedoman menyebabkan perawat mengalami kesukaran untuk merawat dan mengawal pesakit itu.

Nasihat cikgu Ilham kepada sesiapa yang mengalami simptom ini, banyakkanlah membaca ayat pembentang seperti keseluruhan surah Al-Baqarah yang perlu dibaca setiap hari selama sebulan dan diiringi dengan surah Al-Zalzalah. Letakkanlah segelas air di hadapan untuk diminum dan sebaldi air untuk dimandikan. Sekuat mana pun kebatilan itu, pasti akan tewas pada mujizat Quran dan rahmat Allah Taala.

Monday, 20 May 2013

Sihir berkait

As-salam para pembaca budiman.

Mengikut kelaziman peristiwa, cikgu Ilham ingin berkongsi pengalaman dengan anda semua berdasarkan kajian kes, sihir akan ditujukan kepada orang yang dihajati sahaja. Maka seseorang itu akan menerima kesan angkara sihir tersebut. Namun, masih perlu kita ingat bahawa jin-jin ganas dan kejam juga boleh menyerang kepada sesiapa walaupun tanpa dikenali seperti contoh pengamal sihir santau atau pewaris sihir santau. Mereka akan cuba melepaskan sihir itu kepada sesiapa sahaja sebagai misalan di kedai-kedai makan atau warung. Maka, sesiapa sahaja yang masuk ke situ akan pasti merasakan kezaliman sihir. Mungkin seorang, dua atau lebih.

Bagi kajian kes kedua, seperti dalam sebuah keluarga, sang isteri yang terkena sihir sama ada dalam masa singkat atau lama, jin pada sihir itu boleh berjangkit atau berpindah pada ahli keluarga lain secara perlahan-lahan dan beransur-ansur. Hal ini telah dibuktikan oleh banyak kes sekeluarga mengamali kesakitan dan penderitaan yang lama, tidak diketahui oleh pihak keluarga tersebut. Lazimnya, mereka akan menumpukan kepada pesakit yang disihir sahaja, namun mereka terlupa untuk mengubati ahli keluarga yang lain. Ia telah ditunjukkan oleh Allah sebenarnya seperti keluarga tidak aman, seluruh keluarga biasa demam-demam, murung dan beremosi, juga tidak menumpukan perhatian, dan inilah tanda-tanda awal daripada Allah, namun tidak disedari oleh semua.

Maka, saranan cikgu Ilham, marilah kita sentiasa bermurraqabah iaitu mengintai diri dan keluarga kita serta berubatlah walau di mana-mana jua bersama-sama seluruh keluarga kita kerana kita enggan tertipu dengan penyamaran dan tipu helah jin dalam kehidupan seharian.

Sihir 3 dalam 1

As-Salam wahai si pembaca sekalian,

Dewasa ini, cikgu Ilham ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca-pembaca budiman, pesakit-pesakit dan juga para penuntut pengkhususan bidang ini. Ada pelbagai jenis sihir dan ancaman yang kita hadapi pada hari ini. Menurut pengalaman cikgu, antara sihir yang ditakuti ialah sihir bertindan atau sihir bertindih kerana si pesakit atau responden mahupun perawat tidak dapat mengesan sihir tersebut.

Sihir bertindan ini diyakini hasil daripada tindak balas 3 jenis sihir yang menyerang dan memasuki badan pesakit secara serentak. Si pesakit akan dikaitkan dengan simptom kesan kesakitan berada di mana-mana kawasan tubuh badannya sehingga pesakit tidak ketahui yang mana satu harus dirawat terlebih dahulu. Akibatnya, si pesakit akan mengalami tekanan emosi dan jiwa, serta penyakit yang berpanjangan terpaksa ditanggung bertahun-tahun lamanya. Kajian ini berdasarkan pandangan saya dan ulama-ulama Mutakba menjelaskan bahawa sebahagian besar serangan ini terdiri daripada latar belakang pesakit sejak kecil yang mempunyai saka atau pernah terkena sihir secara langsung atau tidak.

Sebagaimana yang kita ketahui, pesakit-pesakit ini akan menghadapi suatu proses penerobosan benteng diri kerana pertahanan diri semula jadi itu telah pun bocor dan pembaikpulihan benteng diri tidak pulih dengan sempurna seperti tidak dipulihkan dengan zikrullah, bacaan Al-Quran yang banyak dan beristiqomah. Apabila pertahanan rohani seseorang itu rapuh, atau masih mempunyai atau lubang atau proses pemulihan belum cukup bersih, maka apabila mereka menjejak usia dewasa, mereka terkena serangan lain seperti sihir pengasih, santau, hatta mudahlah sihir lama bertindih dengan medium sihir baharu dan mengakses seluruh unsur negatif di luar memasuki badan pesakit. Hatta, pesakit boleh terkena 4 jenis jin atau sihir, mungkin lebih daripada itu.

Maka, saranan daripada cikgu Ilham ialah si pesakit perlu banyak bersabar dan sentiasa beristiqomah juga meyakinkan diri serta bermohon kepada Allah memberikan kekuatan dan diberikan pertolongan dalam apa-apa jua keadaan. Ini juga ialah suatu proses mempercepat penyembuhan. Adakalanya pesakit harus berubat berkali-kali, jua ada yang memakan masa 2 minggu, sebulan, 3 bulan hinggalah setahun.

Bagi saya, penyembuhan ini bukan sahaja pada kuasa Allah, mahupun tangan perawat (mualij), juga bergantung kepada kesungguhan pesakit itu, keyakinannya dan kesabarannya yang juga memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan.

Banyak kajian kes yang dilakukan oleh cikgu Ilham, banyak pesakit yang mengalami sihir bertindan 3 dalam 1 ini, gagal mencapai proses penyembuhan mereka kerana faktor emosi, kekecewaan, dan kekuatan rohani yang lemah. Akibatnya, mereka akan berjumpa dengan puluham perawat malah beratus-ratus, namun hasilnya pasti akan gagal juga kerana tidak memahami erti tawakal, sabar, dan reda.

Cikgu Ilham menyarankan supaya setiap pembaca haruslah mengetahui jiwa yang kental sahaja yang bersulamkan keimanan dan kesabaran yang boleh menghadapi ujian Allah.

Percayalah, setiap tawakal, kesabaran dan kesungguhan pasti membuahkan kejayaan. Amin.